KITA masih berada
dalam semangat Maulid kerana baru meraikan 12 Rabiulawal. Tentunya ini adalah
tarikh istimewa bagi umat Islam yang sayangkan Nabi Junjungan Muhammad s.a.w.
Menjana kehidupan dengan contoh terbaik jadi ikutan.
Mak Uda masih ingat
lagi sewaktu belajar di sekolah menengah, Allahyarham Ustaz Salleh Abd. Rahman adalah seorang guru agama yang sangat diminati oleh pelajarnya tatkala mengungkapkan mata
pelajaran Sirah. Hendaknya kalau menceritakan sirah Nabi Muhammad s.a.w.,
tempoh 45 minit itu berlalu bagaikan hanya 10 atau 15 minit rasanya.
Masih terngiang-ngiang
di ingatan Mak Uda antara lain kata Ustaz Salleh, “Nabi Muhammad s.a.w. adalah
teladan dari segala contoh kehidupan seorang manusia hebat di dunia. Penampilan
susuk tubuhnya yang mulia berwibawa. Rona wajahnya bersih bercahaya.Senyumnya
yang tulus. Pandangan matanya yang redup, penuh pancaran kasih sayang dan
prihatin terhadap umatnya. Tawaduknya hebat. Tutur bicaranya berisi. Sentiasa berjaya
menundukkan lawan dan mengakrabkan teman serta sahabatnya.”
Tambah Allahyarham,
Nabi Muhammad s.a.w. dapat menempatkan diri dalam pelbagai watak. Ini
merangkumi sebagai guru, suami, bapa dan pemimpin yang dikasihi.
Menerangi kegelapan yang pekat |
Hiasan akhlaknya yang
murni dan luhur menjadikan baginda seorang Nabi yang amat dikasihi,
diingati dan dihormati oleh seluruh makhluk di dunia.
Mak Uda sengaja
mengimbau sirah silam sempena memperingati hari kelahiran Nabi Junjungan Mulia
ini, untuk mengingatkan diri sendiri dan semua orang agar mencontohinya. Setelah
itu dijadikan amalan dalam mencapai aspirasi kehidupan yang gemilang dunia dan
akhirat. Sebagai tanda cinta dan kasih kita kepada baginda, sebaiknya kita
teladani segala yang ada pada diri baginda. Daripada sekadar mengingatinya setahun
sekali, sebagai tanda kasih cinta kita, eloklah kita sentiasa membasahi bibir dengan
zikrullah serta selawat ke atas Nabi Junjungan pada setiap waktu yang ada.
Di samping itu
hidupkan semua sunnah yang ditinggalkan untuk kita. Contohi sifat cinta kasih
baginda terhadap sesama manusia dan haiwan. Begitu juga dengan kebaikan akhlaknya
yang sangat meraikan orang tua dan menyayangi orang muda.
Tidak cinta dunia,
sangat bersederhana dalam memiliki harta. Namun tetap kaya dengan sifat
dermawan. Tidak pernah berkata “tidak” dalam memenuhi hajat dan keperluan insan
lain.
Inilah yang harus kita
suburkan dalam diri setiap manusia. Di saat sifat mulia sudah kian hakis,
eloklah jika kita merenung kepada sirah Nabi Besar Junjungan Mulia ini untuk
dicontohi dan dijadikan amalan agar kehidupan kita lebih bermakna di dunia dan
akhirat!
Mak
Uda – Sentiasa berdoa agar setiap yang bernama pemimpin punya ciri-ciri
kehebatan
selari dengan peribadi Rasulullah s.a.w.!
No comments:
Post a Comment