Tahniahlah Kak Bedah, dulu jaga
anak kini asuh cucu pulak ye?” ucap Hajah Fatimah kepada Hajah Zabedah sewaktu
kami bertemu dengannya memimpin Haikal cucu sulungnya berumur 3 tahun. Kami sama-sama
dalam perjalanan ke kelas Fardu Ain ke masjid.
“Terima kasih. Hari ini Haikal saya
bawak sebab tak sampai hati tinggalkan dengan pembantu rumah. Ayahnya `terbang’
ke London, emaknya pula ada urusan pembukaan cawangan baru syarikatnya di
Sabah. mudah-mudahan besar nanti dia sukakan majlis-majlis ilmu.” Jawab Hajah
Zabedah ceria kepada kami. Pada masa yang sama Hajah Fatimah turut mengusik Mak
Uda. Katanya tak lama lagi Mak Uda pun tentu macam Hajah Zabedah seronok ulit
cucu.
Mendengar usikan itu Mak Uda terdiam
seketika sambil berfikir bahawa inilah yang dikatakan putaran dan roda dunia
kehidupan.
Sebenarnya sebagai ibu bapa, yang
paling utama kita mesti ingat dan semat dalam hati ialah tanggungjawab kita sebagai
pengamanah. Anak-anak adalah anugerah Allah kepada kita.
Oleh itu tanggungjawab mesti
bermula sejak awal mendapatkan jodoh dan tiba saat benih jatuh ke dalam
rahim.Beransur kepada sembilan bulan dalam kandungan. Di mana pada waktu itu
pasangan ibu bapa hendaklah bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal,
pakaian, makanan rohani dan jasmani sempurna. Sempurna di sini hendaklah
didasari dengan sumber yang halal dan bersih mengikut syariat.
Nyawa hingga ke syurga- Anak kita |
Dan jika berkehendakkan zuriat
yang baik serta elok akhlak dan pekertinya, ibu bapa hendaklah sentiasa memperbaiki
sikap dan sentiasa hidup dalam kandungan suruhan syariat dan sunnah. Dimulai
dari hal-hal yang kecil hinggalah kepada yang besar.
Sebaik si bayi dilahirkan ia
hendaklah diazan, iqamah dan diberikan nama yang baik. Kemudian bermulalah
usaha ke arah pendidikan yang menyeluruh sehingga anak mencapai usia akil baligh.
Dan mendapat pendidikan ke dalam bidang yang paling tinggi seterusnya hingga
mendapat pekerjaan malah jodohnya yang juga mestilah baik serta berpandukan
syariat!
Jika ada yang beranggapan tugas
ibu bapa bertanggungjawab ke atas anakanak selesai sehingga mereka mendapat pendidikan
tinggi, ini adalah anggapan silap yang mesti diperbetulkan.
Tanggungjawab ibu bapa kepada
anak-anak yang menjadi amanah itu sebenarnya tidak boleh ada kata nokhtah. Ia
mestilah diteruskan selagi nyawa dikandung badan…
Malah jika anak-anak sudah berjawatan
tinggi dan berkeluarga juga tidak boleh dilepaskan terus tanggungjawab itu.
Kerana ibu bapa sentiasa ada`saham’ untuk dipertimbangkan di akhirat kelak
dengan segala pencapaian serta tingkahlaku yang dibuat oleh anak-anak di bawah
amanah mereka. Ini tidak bermaksud untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka.
Tetapi apabila anak-anak sudah
ada kehidupan masing-masing memadai ia dipantau dari jarak
dekat atau jauh dan pada masa yang
sama diberikan panduan yang sepatutnya.Terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan
keibu bapaan.
Melaluinya ia juga boleh
menambahkan keakraban hubungan sesama ahli keluarga. Dan sekiranya anak-anak ada masalah,
mereka pasti memperolehi tempat rujuk yang lebih sesuai. Serta banyak masalah
keibubapaan dan keluarga boleh diselesaikan tanpa membawa perpecahan yang
parah.
Oleh itu tanggungjawab ibu bapa tidak
boleh dilepaskan begitu sahaja walaupun anak sudah meningkat dewasa. Sebaliknya
peganglah seperti kita sedang bermain dengan layang-layang. Ada masa kita
lepaskan tali beralun jauh, di waktu yang lain kita sentap perlahan-lahan tali
ke tambatan teraju!
Sehingga ke hujung nyawa mereka tetap
`aset’ kita!
Mak Uda – Tak
ramai anak tapi kaya dengan `anak-anak’.
No comments:
Post a Comment