Monday, June 3, 2013

TATKALA KAKI INGIN MELANGKAH BERITA KEMATIAN ITUPUN TIBA...

Rancangan hendak melancong berdua-duaan dengan suami sudah lama dibuat. Tetapi kerana urusan dan kerja-kerja yang tidak mengizinkan ia telah kami tunda beberapa kali hinggalah tiba kepada ulang tahun kelahiran saya yang ke-57. Kami memutuskan untuk menziarahi adik yang mengikut suaminya bertugas di Brunei. Mereka merantau di sana sudah hampir 30 tahun. Mereka sering balik ke Malaysia, malah anak-anak mereka pun ada yang pernah tinggal belajar bersama kami di Kuala Lumpur dan kini sudahpun melanjutkan pelajaran di menara gading tempatan.
25 Mei 2013 ketika saya dan suami sedang membuat pendaftaran masuk untuk penerbangan MAS ke Bandar Seri Begawan, telefon suami berdering-dering. Sebaik menjawab saya lihat wajahnya agak terkejut dan mengucapkan inalillahiwainailairojiun. Di hujung talian suara kakaknya memberitahu bahawa suami meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya, teman-teman suaminya telah menghubunginya. Dia baru tahu dan akan menjenguk jenazah suaminya di Hospital Besar, Kuala Lumpur.
Kami berdua berpandangan penuh sebak. Tetapi pada masa yang sama saya telah memberikan saran agar, anak-anak yang sedang bercuti membantu menyelesai dan menguruskan jenazah. Sabrina anak bungsu yang sedang bercuti terus kami hubungi agar mengambil Mak Denya dan terus dibawa ke HBKL. Sementara Rizal yang sulung pula kami minta menanti dan melihat keadaan di HBKL.
Adik ipar pula menghubungi saya dan bertanyakan di mana harus jenazah dikebumikan. Saya sarankan agar dia melihat di mana aruah menjadi ahli khairat kematiannya. Kalau ada masalah bawalah untuk dikebumikan di kampung kami di Pahang.
Alhamdulillah urusannya dipermudahkan Allah. Sebaik lepas solat Zohor jenazah dikebumikan di Selangor. Dan lain-lain urusan juga Allah bantu dengan semudah-mudahnya.Amin ya Allah kerana Kau telah merahmati doa kami yang sedang musafir...
Inilah kehidupan yang pada setiap saat hendaklah kita sematkan dalam hati bahawa kita adalah hamba-Nya yang telah dicipta selain daripada hanya untuk taat dan beribadah kepada-Nya.
Di samping itu hubungan dan keakraban sesama ahli keluarga hendaklah menjadi agenda utama. Ibu bapa bertanggungjawab mengajarkan ilmu kehidupan kepada anak-anak pada setiap waktu dan ketika.Agar dengan itu ia akan menjadikan ikhtiar dan usaha tatkala ditimpa musibah kepada hali keluarga dapat dibentu dengan cara yang betul dan baik...
Dan sebagai penghuni masyarakat pula hendaklah sentiasa kita mengikuti resam manusia. di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung! Insya-Allah mudah dibantu ketika hidup ditimpa masalah dan kepayahan.
Dalam hati yang berat sebenarnya kami hari itu melangkah ke destinasi yang telah dirangka. pun begitu hampir setiap jam mereka yang ditinggalkan saya hubungi untuk mengetahui status seterusnya.
Terima kasih anak-anakku Rizal, Apit dan Nina kerana kalian sudah pandai menelusuri alur kehidupan yang telah kami rentaskan!