Monday, January 14, 2013

Yang Luas dan Sempit Mengenai Rezeki


AJAL, maut, jodoh, dan rezeki adalah ketentuan Allah sejak azali. Kita sebagai hamba-Nya, wajib mentaati segala perintah dan meninggalkan semua larangan. Jika ini dipatuhi maknanya kita sudah membina landas keimanan di dalam kehidupan kita. Dan yang lain-lain pula haruslah diusahakan dengan sabar, tekun, taqwa dan sungguh-sungguh.

Apabila disentuh mengenai rezeki, memang ada di antara kita yang sering menekankan bahawa ia hanyalah diukur hanya kepada wang ringgit atau kebahagiaan material semata-mata.Ini tidak tepat. Kerana yang bernama rezeki itu adalah segala bentuk kurnia rahmat dan hidayah yang Allah kurniakan kepada sekalian manusia.

Yang pentingnya bagaimanakah cara kita mengurus, mensyukuri dan menikmati segala kurniaan tersebut? Berapa ramai manusia yang berkeadaan amat keluh-kesah apabila diuji dengan kehilangan harta, nyawa dan sebagainya lagi? Tetapi akan terus bersyukur dan ingatkah mereka kepada Allah apabila banyak nikmat dan rezeki yang dilimpahkan sepanjang hidup seorang manusia di dunia ini? Inilah persoalan yang harus dijawab dengan keteguhan iman di dada.

Bayangkan betapa pengasih dan penyayangnya Allah terhadap manusia.Walaupun tidak bersyukur dengan rahmat- Nya, ingkar perintah-Nya dan pelbagai kemungkaran dilakukan oleh seorang manusia, Dia tetap memberikan rahmat pada setiap masa dan ketika walaupun tanpa diminta-minta oleh seorang hamba-Nya.

Contoh paling hampir dalam diri seorang manusia adalah nikmat rezeki pancaindera. Bayangkan betapa nikmatnya hidup seorang manusia apabila dilahirkan cukup sifat. Dan tiba-tiba ditimpa musibah lalu hilanglah salah satu fungsi pancaindera tersebut, pastilah yang empunya diri akan sedikit keluh-kesah. Sedangkan sewaktu pancaindera itu berfungsi dengan baik, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri dalam setiap detik waktu bagaimana kita mensyukuri rahmat tersebut?

Inilah sebenarnya kenapa kita dianjurkan supaya banyak berzikirullah. Kerana ia adalah merupakan sebahagian kaedah kita menyatakan syukur terhadap banyak nikmat yang diberi oleh Allah

Begitu juga sekiranya kita dikurniakan kelebihan rezeki harta benda yang banyak.Bukankah kita dianjurkan supaya banyak memberikan sedekah sebagai jalan untuk memberikan isyarat, bahawa kita amat bersyukur dengan rezeki yang Allahberikan.

Sifat pemurah, penyayang dan pemaaf adalah amat dituntut oleh Allah terhadap hamba-Nya.kerana melalui sifat sedemikian kita dapat menterjemahkan rasa syukur terhadap semua kurniaan Allah kepada kita.

Apakah terjemahan daripada rasa syukur kita?
Namun balasan tetap ada kepada hamba-hamba Allah yang tidak bersyukur terhadap rezeki dan kurniaan Allah. Antaranya boleh menyebakan kehilangan harta benda, nyawa, anggota tubuh badan dan sebagainya lagi.

Sebagai manusia juga sebenarnya hanyalah sebagai pengamanah. Kerana setiap apa yang kita miliki adalah hak Allah. Lalu Allahlah yang amat berhak menentukan kurniaitu.

Oleh itu menghargai setiap nikmat yang diberikan dengan cara berkongsi kepada manusia yang lain amatlah dituntut. Oleh itu jugalah timbulnya konsep membayar zakat yang menjadi salah satu rukun kepada orang Islam.

Supaya Allah sentiasa sayang dan terus memberikan rezeki yang luas dan melimpah ruah, janganlah lokek untuk berkongsi nikmat dengan orang lain.Dan jangan lupa pula untuk sentiasa mensyukuri pemberian tersebut. Selagi Allah mahu merahmati kehidupan kita.

Pengertian rezeki juga amat luas, seluas pintu-pintu nikmat yang Allah sentiasa berikan kepada hamba-Nya!
Oleh itu untuk sentiasa mendapat kasih sayang Allah, kita juga dianjurkan agar selalu berkasih sayang sesama manusia…

Mak Uda – Kecil atau besar
kurniaan Allah itu adalah rezeki.Yang
kadangkala diturunkan kepada kita
sekadar untuk menjadi sebab supaya
kita melebarkan kurnia tersebut
kepada insan lain!

No comments:

Post a Comment