Tuesday, January 22, 2013

Sajak: Sebuah Memori Perjalanan


Awal Tangisanku....

Tuhanku,
Syukur kerana memberi peluang aku di sini
ini adalah awal tangisanku
tatkala selamat lahir dari rahim ibu tercinta
saat ini aku sudah menerjah rona kehidupan dunia
Wahai Rabbi,
memang amat takjub sekali
kerana aku dan dunia ini adalah ciptaan-Mu
Yang Maha Agung serta Maha Seni!
adalah dengan izin-Mu jua
aku melafaz janji ikrar di sini
bahawa tiada Tuhan yang disembah kecuali Engkau
dan Nabi Muhammad itu adalah Rasul Junjungan kami!

Jalan Yang Sepi


Ia adalah sebatang jalan panjang
amat hening dan sepi kala dinihari
dengan langkah hati-hati
kumengatur langkah di sini
Sewaktu bayu semilir membelai dingin di wajah
Tiba-tiba mata menjadi basah
Hati turut resah mendesah
Wahai Khaliq! Amat kerdilnya aku…
Tiada apa yang hendak dibanding
Sekadar debu di hujung tebing
Sedang jalan ini masih panjang
Namun jiwa masih leka berdendang
Wahai Khaliq! Teruslah rahmati langkahku
Kerana di tengah jalan ini aku mula berteleku
Menghitung betapa banyaknya dosa diriku

Tenang menghadapi cabaran

Sesungguhnya aku menjadi amat malu…
Terimalah janji ini kerana di hujung sana
Pasti kucuci hingga sirna
Semua najis dan dosa durjana
Lalu terimalah aku siapa akhirnya…

Makna Sebuah Persahabatan


Yang bernama sahabat itu luhur
maksudnya
sentiasa bersama dalam suka dan duka
menegur kesilapan
memuji kebaikan
menutup keaiban
tatkala teralpa dialah yang
mengingatkan
tatkala bergelap dialah yang menerangi
tatkala terkurang dialah menambahkan
tatkala terlebih dialah jadi pengagih
beban berat sama dipikul
beban ringan sama dijinjing
sentiasa ada waktu diperlukan
kerana tawa dan tangis
sahabat itu sentiasa berpintal
bertemu dan berpisah cuma
hanya dengan redha Ilahi!
moga makna ini terus kau terjemahkan
buat renungan generasi di hadapan
kerana jalur bahagia itu
sudah kusiapkan jadi tugu batasan erti
sebuah persahabatan hakiki…

Sinar Baru


Kuntum bunga yang kembang
Adalah lambang sinar baru
Selepas fajar menyinsing tanda
sudah bertukar musim
Inilah wajah murni untuk
diteroka esok hari
Dan musimpun terus silih
berganti
Kerana inilah kitaran hidup
Yang bernama hari



1 comment: