Sunday, January 27, 2013

Jangan dilepas Sehingga Ke Hujung Nyawa


Tahniahlah Kak Bedah, dulu jaga anak kini asuh cucu pulak ye?” ucap Hajah Fatimah kepada Hajah Zabedah sewaktu kami bertemu dengannya memimpin Haikal cucu sulungnya berumur 3 tahun. Kami sama-sama dalam perjalanan ke kelas Fardu Ain ke masjid.

“Terima kasih. Hari ini Haikal saya bawak sebab tak sampai hati tinggalkan dengan pembantu rumah. Ayahnya `terbang’ ke London, emaknya pula ada urusan pembukaan cawangan baru syarikatnya di Sabah. mudah-mudahan besar nanti dia sukakan majlis-majlis ilmu.” Jawab Hajah Zabedah ceria kepada kami. Pada masa yang sama Hajah Fatimah turut mengusik Mak Uda. Katanya tak lama lagi Mak Uda pun tentu macam Hajah Zabedah seronok ulit cucu.

Mendengar usikan itu Mak Uda terdiam seketika sambil berfikir bahawa inilah yang dikatakan putaran dan roda dunia kehidupan.

Sebenarnya sebagai ibu bapa, yang paling utama kita mesti ingat dan semat dalam hati ialah tanggungjawab kita sebagai pengamanah. Anak-anak adalah anugerah Allah kepada kita.

Oleh itu tanggungjawab mesti bermula sejak awal mendapatkan jodoh dan tiba saat benih jatuh ke dalam rahim.Beransur kepada sembilan bulan dalam kandungan. Di mana pada waktu itu pasangan ibu bapa hendaklah bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan rohani dan jasmani sempurna. Sempurna di sini hendaklah didasari dengan sumber yang halal dan bersih mengikut syariat.

Nyawa hingga ke syurga- Anak kita

Dan jika berkehendakkan zuriat yang baik serta elok akhlak dan pekertinya, ibu bapa hendaklah sentiasa memperbaiki sikap dan sentiasa hidup dalam kandungan suruhan syariat dan sunnah. Dimulai dari hal-hal yang kecil hinggalah kepada yang besar.

Sebaik si bayi dilahirkan ia hendaklah diazan, iqamah dan diberikan nama yang baik. Kemudian bermulalah usaha ke arah pendidikan yang menyeluruh sehingga anak mencapai usia akil baligh. Dan mendapat pendidikan ke dalam bidang yang paling tinggi seterusnya hingga mendapat pekerjaan malah jodohnya yang juga mestilah baik serta berpandukan syariat!

Jika ada yang beranggapan tugas ibu bapa bertanggungjawab ke atas anakanak selesai sehingga mereka mendapat pendidikan tinggi, ini adalah anggapan silap yang mesti diperbetulkan.

Tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak yang menjadi amanah itu sebenarnya tidak boleh ada kata nokhtah. Ia mestilah diteruskan selagi nyawa dikandung badan…

Malah jika anak-anak sudah berjawatan tinggi dan berkeluarga juga tidak boleh dilepaskan terus tanggungjawab itu. Kerana ibu bapa sentiasa ada`saham’ untuk dipertimbangkan di akhirat kelak dengan segala pencapaian serta tingkahlaku yang dibuat oleh anak-anak di bawah amanah mereka. Ini tidak bermaksud untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka.

Tetapi apabila anak-anak sudah ada kehidupan masing-masing memadai ia dipantau dari jarak
dekat atau jauh dan pada masa yang sama diberikan panduan yang sepatutnya.Terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan keibu bapaan.

Melaluinya ia juga boleh menambahkan keakraban hubungan sesama ahli keluarga. Dan sekiranya anak-anak ada masalah, mereka pasti memperolehi tempat rujuk yang lebih sesuai. Serta banyak masalah keibubapaan dan keluarga boleh diselesaikan tanpa membawa perpecahan yang parah.

Oleh itu tanggungjawab ibu bapa tidak boleh dilepaskan begitu sahaja walaupun anak sudah meningkat dewasa. Sebaliknya peganglah seperti kita sedang bermain dengan layang-layang. Ada masa kita lepaskan tali beralun jauh, di waktu yang lain kita sentap perlahan-lahan tali ke tambatan teraju!

Sehingga ke hujung nyawa mereka tetap `aset’ kita!

Mak Uda – Tak ramai anak tapi kaya dengan `anak-anak’.

No comments:

Post a Comment