Tuesday, March 19, 2013

Takkan Habis Nikmat Tuhanmu Dikira


Belum tibakah waktunya untuk kita bersyukur kepada-Nya? Ini soalan yang dijawab dan dirungkai melaluiBersyukurlah Kerana-Nya.

Setiap saat yang berlalu dalam kehidupan manusia, dilimpahi nikmat daripada Allah. Setiap zarah udara yang disedut dan dihembus keluar, setiap degup nadi yang berdenyut serta setiap apa yang ada pada diri kita adalah juzuk kecil daripada sekian banyak nikmat yang kita kecapi. Namun, berapa ramaikah antara kita yang memanjatkan syukur dan berterima kasih kepada Allah?

Bersyukurlah kerana-Nya membuka mata dan hati pembaca untuk melihat betapa banyaknya nikmat yang dikecapi lantas mendorong kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Dengan dasar muka hadapan (kulit) buku yang putih berseri, dihias pula dengan bunga-bunga dan kupu-kupu dalam teknik embossed, buku ini amat menarik dibaca. Digarap dalam empat buah bab utama dan setiap satu ada pula pecahan sub-sub babnya yang sangat mengikat pembaca untuk terus membaca sambil bermuhasabah diri kerana ia menukilkan persoalan syukur kepada Allah.

Penulisan yang ditulis oleh penulis yang hatinya tunduk patuh kepada Pencipta, lantas dia turut membenamkan rasa yang sama kepada para pembaca. Melaluinya kita selalu disedarkan bahawa segala nikmat yang dikecapi bukanlah apa-apa melainkan untuk disyukuri.

Penulis bagaikan seorang sahabat sejati yang terus berpesan supaya kita bersyukur dan berbahagialah kerana ia akan menjadikan kita sentiasa berlapang dada dalam mendepani hidup di dunia menuju akhirat!

Semakin banyak manusia bersyukur kepada Allah maka semakin banyaklah nikmat dan kebaikan yang akan dilimpahkan oleh Allah kepada manusia itu.

No comments:

Post a Comment