Friday, March 15, 2013

Carilah Nur Khadijah


“MENCARI idola dan mentor macam tak hebat kalau tak bersandar kepada tokoh-tokoh Barat. Bukan tak boleh tapi berimbanglah sikit! Tokoh-tokoh Islam bukankah ramai? Malah ada tokoh ilmuan Islam itu yang namanya hebat telah diputar-belitkan kepakarannya oleh pihak yang kuat menciplak di sebelah Barat,” getus Haizal.

“Salahnya orang kita juga, ada ilmu pengetahuan tapi usaha tak cukup kuat untuk menggali sirah tokoh agama sendiri. Akibatnyanya, untuk dibuat contoh pun main tangkap muat. Asal ada dan boleh disebut. Itulah sebabnya tokoh ikutan pun kiblatnya sudah ke Barat,” balas Nina.

Ini Mak Uda kutip pada sembangsembang kedua beradik ini sewaktu membahaskan soal idola dan mentor pada suatu petang. Mak Uda memang seronok dapat menyertai perbincangan orang muda. Ia bukan sahaja menambahkan ilmu baru tetapi turut menyegarkan minda orang tua macam Mak Uda yang kian layu…

Mak Uda pun berilah contoh Sayidatina Khadijah r.a. Terhenti seketika perbincangan Nina dan Haizal, penuh khusyuk mendengar Mak Uda berkisah! Hebatnya Sayidatina Khadijah bukan rahsia lagi. Dia kaya ternama, tokoh perniagaan terbilang di Kota Makkah. Janda kaya ini begitu terpikat dengan akhlak yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW. Sehingga beliau mengutus Nafisah dan Maisarah untuk merisik khabar meminang baginda.

Tatkala itu Khadijah berusia 40 tahun, sedangkan Nabi baru menjamah umur 25 tahun. Lamaran diterima lalu hiduplah mereka sebagai suami isteri. Dan setelah itu, semua urusan perniagaan berpindah di bawah kelolaan suami yang amat ditaatinya. Sewaktu orang lain belum mengakui
kerasulan suaminya, dialah wanita pertama yang mengaku dan beriman dengan wahyu yang diturunkan Allah kepada suami tercinta.

Ketika orang lain mencaci nista dakwah yang disampaikan oleh suaminya, beliaulah orang yang sentiasa membela dan membelai gundah-gulana kesedihan Nabi. Tak pernah menghitung untuk membelanjakan segala kekayaan demi jalan dakwah yang dirintis oleh suaminya.


Sehinggakan tatkala usia sudah di hujung hayat, masih tegar berpesan kepada sang suami agar selepas dia meninggal dunia kelak, jika sudah tiada hartanya yang boleh dimanfaatkan, beliau redha agar tulang-belulangnya digunakan jika itu boleh membantu perkembangan ajaran agama yang diserukan oleh suami tercintanya Nabi Muhammad SAW. Tak mahukah kita pun hebat begini? Inilah role model yang kita mesti pelajari sebenarnya.

Jadi pantaslah jika tahun kematian Sayidatina Khadijah r.a. dikira sebagai antara musibah tersedih yang pernah dilalui sepanjang perjalanan kehidupan baginda Rasulullah SAW. Baginda seolah-olah kehilangan tangan kirinya yang sentiasa menyokong selama ini. Memang tepatlah jika ‘Nur’ (cahaya)
Sayidatina Khadijah ini yang mesti digali oleh setiap orang Islam terutamanya kaum wanita untuk dijadikan contoh atau idola sanjungan.

‘Nur’ Khadijah ini mesti digali dan dimanfaatkan demi kesejahteraan umat. Yang penting beliau juga adalah insan yang paling beruntung kerana Allah mengurniakannya suami seorang lelaki yang mempunyai akhlak terhebat. Mempunyai kepelbagaian watak yang paling gemilang untuk seorang lelaki.

Dalam usaha menggali kebaikan dan contoh-contoh terbaik, semua yang ‘best of the best’ itu hendaklah dikutip semua, bukan dipilih mana yang suka. Seperti contoh popular yang hebat diambil dalam bab poligami umpamanya. Hujah hebat yang sering diterataskan asal hendak berpoligami – ikut contoh Nabi. Contoh-contoh lain yang hebat-hebat tak pernah hendak dikutip secara total… Mak Uda tidak menolak poligami, tetapi yang ditolak oleh semua kaum sejenis Mak Uda ialah pengamalannya yang tidak ikut seratus peratus sunnah. Apa lagi contoh kepelbagaian watak Rasulullah SAW sebagai seorang lelaki teragung di dunia itu tak pernah hendak diikuti sepenuh jiwa raga.

Mak Uda – Tak pernah berhenti mencari Nur Khadijah untuk jadi obor penyuluh dunia dan akhirat, insya-Allah!

No comments:

Post a Comment