“Hidup manusia ini ibarat derasnya
air mengalir. Kalau bersih di hulu, akan bersihlah waktu ia mengalir sampai ke
hilir.” Masih jelas terngiang-ngiang di telinga Mak Uda kata-kata Nyai Marni (nenek Mak Uda) kepada
paman-paman dan bibik-bibik (pakcik-pakcik dan makcik-makcik). Ulasan pandangan
ini biasanya akan disampaikan olehnya pada setiap waktu ada cadangan untuk
merisik jodoh di kalangan keluarga kami.
Nyai Marni orang Jawa Ponorogo,
amat teguh pendiriannya dalam soal mencarikan jodoh anak cucunya.Walaupun Mak Uda
masih berusia mentah dan tak mengerti pokok dasar perbincangan, Nyai tak pernah
melarang Mak Uda duduk bersimpuh tidak jauh daripada tempat mereka berbincang.
Inilah untungnya menjadi cucu kesayangan agaknya…
Kata Nyai orang Jawa sangat
pentingkan soal ‘babat, bibit dan bobot’ (susur-galur keturunan).
Tambah Nyai biar miskin namun jelas asal keturunannya, kuat ibadat dan rajin
bekerja. Inilah antara ciri-ciri untuk pasangan hidup bagi kelompok keluarga kami
waktu dahulu.
Nyai menjadi orang yang sangat
kuat pengaruhnya dalam soal mencari jodoh anak cucunya. Kalau Nyai setuju
dengan risikannya, pertunangan dan perkahwinan boleh dilangsungkan dengan baik.
Begitulah sebaliknya. Dan jangkaan Nyai sering tepat dan tidak meleset. Inilah
hasil bentuk didikan orang tempoh dulu dalam usaha menyambung zuriat dan
keturunan!
Untuk menjaga keturunan kata Nyai,
ia hendaklah dimulai dari diri sendiri. Selepas itu jatuh kepada pasangan hidup
dan mengatur rumah tangga serta mendidik anak-anak mengikut lunas agama yang
baik. Ini bermaksud untuk persiapan diri sendiri kita hendaklah menjadi orang
yang baik-baik dan suka membuat kebaikan terlebih dahulu. Mesti taat serta
berbakti kepada ibu bapa. Menjaga perangai dan kelakuan dalam pergaulan.
Memelihara sumber rezeki dan makan minum.
Hendaklah memahami agama dan
hidup mengikut pandangan Islam. Mesti menguasai kemahiran menjadi ibu dan bapa
serta menguruskan rumah tangga.
Dan usaha juga hendaklah ditambah
selepas kahwin iaitu menjalani perkahwinan yang berkat. Membina rumah tangga di
atas asas taqwa, menjaga sumber rezeki untuk keluarga dan menjaga hubungan suami
isteri. Seterusnya memelihara kandungan dan menjaganya selepas kelahiran anak.
Tidak lupa memberikan asuhan serta didikan mulai anak-anak mumaiyiz.
Mendidik dengan bimbingan sesuai
menjelang akil baligh dan terakhir sentiasa menyirami pesanan dan latihan
menjelang anak-anak di usia perkahwinan. Jodoh juga sering ditentukan hasil
persetujuan keluarga terlebih dahulu.Memang berat semua itu. Aspirasi yang Mak
Uda tuliskan ini adalah terjemahan daripada usul, nasihat dan kata bincang yang
sering Nyai ingat-ingatkan buat kami sekeluarga!
Semua saranan itu disampaikan
dalam bahasa yang cukup mudah tetapi sarat dengan pengertian serta maksud
tersirat. Walaupun pada ketika itu Mak Uda masih sangat muda untuk mengerti,
tetapi proses pengulangan itu sentiasa Nyai berikan dan ia melekat di sanubari
Mak Uda…
Kini Nyai sudah lama meninggalkan
kami kembali ke rahmatullah. Pandangan dan gaya hidup kita juga sudah begitu
pesat jauh meninggalkan segalanya. Apabila tiba giliran kepada Mak Uda sebagai
generasi penerus tradisi ini, keadaannya memang tidak semudah dahulu…
Bersiap sedia walaupun saat akhir |
‘Babat, bibit dan bobot’
(nasab keturunan) memang mesti diambil kira sebelum memulakan langkah untuk
berumah tangga. Oleh itu merisik itu penting. Tapi haruslah dilakukan mengikut syariat bukan dibesarkan
secara adat!
Dan apabila sudah ditemui calon
yang sesuai dan rumah tangga pun sudah dibina mengikut aturan syariat. Maka besarlah kewajipan
pasangan ini supaya menjaga keturunannya. Seperti mana yang diperkatakan di
atas. Dengan mengikut semua cara yang digariskan oleh landasan syarak pasti
`air bersih yang mengalir dari hulu ke hilir tetap jernih dan bersih!’
Mak Uda – Sangat
terkesan dengan pesan Nyai yang kadangkadang amat sukar direalisasikan!
No comments:
Post a Comment