Monday, June 3, 2013

TATKALA KAKI INGIN MELANGKAH BERITA KEMATIAN ITUPUN TIBA...

Rancangan hendak melancong berdua-duaan dengan suami sudah lama dibuat. Tetapi kerana urusan dan kerja-kerja yang tidak mengizinkan ia telah kami tunda beberapa kali hinggalah tiba kepada ulang tahun kelahiran saya yang ke-57. Kami memutuskan untuk menziarahi adik yang mengikut suaminya bertugas di Brunei. Mereka merantau di sana sudah hampir 30 tahun. Mereka sering balik ke Malaysia, malah anak-anak mereka pun ada yang pernah tinggal belajar bersama kami di Kuala Lumpur dan kini sudahpun melanjutkan pelajaran di menara gading tempatan.
25 Mei 2013 ketika saya dan suami sedang membuat pendaftaran masuk untuk penerbangan MAS ke Bandar Seri Begawan, telefon suami berdering-dering. Sebaik menjawab saya lihat wajahnya agak terkejut dan mengucapkan inalillahiwainailairojiun. Di hujung talian suara kakaknya memberitahu bahawa suami meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya, teman-teman suaminya telah menghubunginya. Dia baru tahu dan akan menjenguk jenazah suaminya di Hospital Besar, Kuala Lumpur.
Kami berdua berpandangan penuh sebak. Tetapi pada masa yang sama saya telah memberikan saran agar, anak-anak yang sedang bercuti membantu menyelesai dan menguruskan jenazah. Sabrina anak bungsu yang sedang bercuti terus kami hubungi agar mengambil Mak Denya dan terus dibawa ke HBKL. Sementara Rizal yang sulung pula kami minta menanti dan melihat keadaan di HBKL.
Adik ipar pula menghubungi saya dan bertanyakan di mana harus jenazah dikebumikan. Saya sarankan agar dia melihat di mana aruah menjadi ahli khairat kematiannya. Kalau ada masalah bawalah untuk dikebumikan di kampung kami di Pahang.
Alhamdulillah urusannya dipermudahkan Allah. Sebaik lepas solat Zohor jenazah dikebumikan di Selangor. Dan lain-lain urusan juga Allah bantu dengan semudah-mudahnya.Amin ya Allah kerana Kau telah merahmati doa kami yang sedang musafir...
Inilah kehidupan yang pada setiap saat hendaklah kita sematkan dalam hati bahawa kita adalah hamba-Nya yang telah dicipta selain daripada hanya untuk taat dan beribadah kepada-Nya.
Di samping itu hubungan dan keakraban sesama ahli keluarga hendaklah menjadi agenda utama. Ibu bapa bertanggungjawab mengajarkan ilmu kehidupan kepada anak-anak pada setiap waktu dan ketika.Agar dengan itu ia akan menjadikan ikhtiar dan usaha tatkala ditimpa musibah kepada hali keluarga dapat dibentu dengan cara yang betul dan baik...
Dan sebagai penghuni masyarakat pula hendaklah sentiasa kita mengikuti resam manusia. di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung! Insya-Allah mudah dibantu ketika hidup ditimpa masalah dan kepayahan.
Dalam hati yang berat sebenarnya kami hari itu melangkah ke destinasi yang telah dirangka. pun begitu hampir setiap jam mereka yang ditinggalkan saya hubungi untuk mengetahui status seterusnya.
Terima kasih anak-anakku Rizal, Apit dan Nina kerana kalian sudah pandai menelusuri alur kehidupan yang telah kami rentaskan!

Thursday, April 18, 2013

PRU 13 vs Pesta Buku Antarabangsa 2013

Pesta Buku Antarabangsa tinggal sedikit masa lagi. Saya sebagai Pengarah Komunikasi Korporat Galeri Ilmu terasa bahangnya.

Pada kali ini Galeri Ilmu mempersembahkan 12 buku terbaharu yang pasti mendapat sambutan hangat pengunjung seperti sehangat debaran PRU 13 pada 05 mei nanti.

Untuk itu, saya sebagai penulis buku 'Selera Dapur Anis' mengajak anda semua untuk mendapatkan buku saya dan buku-buku yang lain dengan diskaun 15%. Ada pelbagai acara dan hadiah menarik menanti anda di booth Galeri Ilmu yang bernombor H24-H29.

Jangan lupa dapatkan tandatangan ekslusif saya dan insya-Allah jika berkesempatan kita boleh berkongsi resipi di sana nanti.

Jangan lupa hadirkan diri anda dengan membawa keluarga dan rakan-rakan.

 'Selera Dapur Anis' sedang bersiaran. Jom kita lihat video di bawah sebentar.


Sunday, March 31, 2013

Keajaiban Firasat dan Doa Ahli Syurga - Dapatkan di PBAKL 2013

KEAJAIBAN FIRASAT

63 Kisah Pengubat Jiwa.
Penulis      : Muhadir Haji Joll.
Penerbit    : Galeri Ilmu Sdn.Bhd.
Tebal          : 192 muka surat.
Harga         :  RM 19.00.

Kisah-kisah orang soleh umpama tentera yang memerangi nafsu
dan umpama cahaya yang menerangi kegelapan hati yang dipenuhi penyakit-penyakit rohani. Kisah-kisah yang terkandung dalam buku ini mengandungi banyak pengajaran dan hikmah. Ia amat baik dibaca sebagai santapan ohani semoga dapat memberikan kesan penyembuhan yang mendalam kepada hati yang membacanya serta ingin merapatkan diri dengan Tuhan.

Pada zaman yang gawat minda seperti sekarang, kisah-kisah sebegini sangat perlu diceritakan dan dimanfaatkan. Melaluinya diharapkan hati yang sering dikotori dengan kelalaian, kebendaan itu dapat kembali sedar dan insaf. Untuk mnyedarkan semula daripada kelalian yang panjang, manusia amat memerlukan petunjuk dan didikan daripada Ilahi. Buku ini antara bahan yang boleh dijadikan bahan penyubur minda  menuju jalan ke dalam kehidupan yang hakiki.

Buku Keajaiban Firasat- 63 Kisah Pengubat Jiwa mengandungi kisah-kisah yang menarik, bahasanya mudah difahami dan seronok dibaca biarpun berulang-ulang kali.

Ia juga baik dijadikan bahan bercerita atau berkisah kepada anak-anak. Dengan membaca dan memahami kisah-kisah serta firasat orang soleh yang terkandung di dalamnya pembaca boleh pula mengutip beribu-ribu hakikat bakal menjadi amalan yang baik.

Menurut kata penulisnya ketika diwawancara di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, 63 kisah yang dipilih sebagai mengambil berkat dengan usia 63 tahun Rasulullah SAW wafat. Semoga dengannya hati-hati yang membaca akan lebih mencintai Rasulullah SAW dan akhlak orang-orang soleh.


DOA AHLI SYURGA
Munajat seroang hamba mencari keredhaan Allah SWT.
Penulis /Penyusun      : Mohd.Shafie Hashim
Penerbit                         : Galeri Ilmu Sdn.Bhd.
Tebal                               : 197 muka surat.
Harga                              :  RM 20.00.

Ya Allah, sesungguhnya aku meohon kepada-Mu seluruh kebaikan, baik sekarang ataupun yang akan datang, kebaikan yang aku ketahui ataupun yang tidak aku ketahui. Aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada keburukan, baik sekarang dan akan datang, yang aku ketahui ataupun yang tidak akau ketahui. Aku memohon syurga kepada-Mu dan segala ucapan dan perbuatan yang akan mendekatkan aku kepadanya. Aku berlindung kepada-Mu daripada neraka dan segala ucapan dan perbuatan yang akan mendekatkan aku ke neraka.
                                                                      
(Munajat Imam al-Ghazzali).
Hidup tidak akan pernah putus hubungan antara manusia dengan Allah SWT. Setaip perkara yang akan dilakukan perlu meletakkan pergantungan serta pengharapan yang tinggi kepada-Nya, agar kehidupan seharian yang dilalui dapat berjalan baik dengan penuh kebrkatan daripada-Nya.

Buku Doa Ahli Syurga ini mengandungi himpunan doa-doa terpilih berserta keterangan yang amat sesuai untuk diamalkan dalam kehidupan seorang Muslim pada setiap masa dan juga waktu-waktu yang tertentu.
Doa-doa di dalam buku ini terdiri daripada:

-          Doa Amalan Harian.
-          Doa Ibadah Solat.
-          Doa waktu-waktu Tertentu.
-          Doa Kesejahteraan Diri.
-          Doa Sakit dan Kematian.
-          Doa Kekeluargaan.
-          Doa Alam Rumah Tangga.
-          Doa Ibadah Haji dan Umrah.
-          Himpunan Selawat.

Sealamat membaca dan mengamalkannya.Semoga Allah SWT menerima permintaan hamba-Nya yang benar-benar inginkan ketenangan dan sebuah pengakhiran kehidupan yang lebih sejahtera.

Thursday, March 28, 2013

MEMOTONG KUKU DAN MISAI SETIAP JUMAAT.

Sebelum menunaikan Solat Jumaat, setiap umat Islam biasanya akan merapikan penampilan mereka. Ini didahului dengan mandi, menggosok gigi, memakai pakaian yang elok dan berwangi-wangian.
 Selain itu disunnahkan juga untuk memotong kuku dan misai.

Rasulullah SAW biasanya akan memotong kuku dan misai baginda sebelum berangkat ke masjid untuk solat Jumaat bersama para sahabat.
Tambahkan buku ini dalam almari anda

Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis:
“Dari Abdullah bin Amru bin Al-Asy ra, ia berkata:’Bahawa Rasulullah SAW selalu memotong kuku dan misainya setiap hari Jumaat’.” (Riwayat Al-Baghawi).
Ia terdapat juga dalam hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah ra, bahawa dua hal ini termasuk daripada lima fitrah seorang Muslim. Rasulullah SAW bersabda:
“Lima hal dari fitrah, iaitu: khitan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur misai.” (Muttafaq Alaih).

Tuesday, March 19, 2013

Takkan Habis Nikmat Tuhanmu Dikira


Belum tibakah waktunya untuk kita bersyukur kepada-Nya? Ini soalan yang dijawab dan dirungkai melaluiBersyukurlah Kerana-Nya.

Setiap saat yang berlalu dalam kehidupan manusia, dilimpahi nikmat daripada Allah. Setiap zarah udara yang disedut dan dihembus keluar, setiap degup nadi yang berdenyut serta setiap apa yang ada pada diri kita adalah juzuk kecil daripada sekian banyak nikmat yang kita kecapi. Namun, berapa ramaikah antara kita yang memanjatkan syukur dan berterima kasih kepada Allah?

Bersyukurlah kerana-Nya membuka mata dan hati pembaca untuk melihat betapa banyaknya nikmat yang dikecapi lantas mendorong kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Dengan dasar muka hadapan (kulit) buku yang putih berseri, dihias pula dengan bunga-bunga dan kupu-kupu dalam teknik embossed, buku ini amat menarik dibaca. Digarap dalam empat buah bab utama dan setiap satu ada pula pecahan sub-sub babnya yang sangat mengikat pembaca untuk terus membaca sambil bermuhasabah diri kerana ia menukilkan persoalan syukur kepada Allah.

Penulisan yang ditulis oleh penulis yang hatinya tunduk patuh kepada Pencipta, lantas dia turut membenamkan rasa yang sama kepada para pembaca. Melaluinya kita selalu disedarkan bahawa segala nikmat yang dikecapi bukanlah apa-apa melainkan untuk disyukuri.

Penulis bagaikan seorang sahabat sejati yang terus berpesan supaya kita bersyukur dan berbahagialah kerana ia akan menjadikan kita sentiasa berlapang dada dalam mendepani hidup di dunia menuju akhirat!

Semakin banyak manusia bersyukur kepada Allah maka semakin banyaklah nikmat dan kebaikan yang akan dilimpahkan oleh Allah kepada manusia itu.

Friday, March 15, 2013

Carilah Nur Khadijah


“MENCARI idola dan mentor macam tak hebat kalau tak bersandar kepada tokoh-tokoh Barat. Bukan tak boleh tapi berimbanglah sikit! Tokoh-tokoh Islam bukankah ramai? Malah ada tokoh ilmuan Islam itu yang namanya hebat telah diputar-belitkan kepakarannya oleh pihak yang kuat menciplak di sebelah Barat,” getus Haizal.

“Salahnya orang kita juga, ada ilmu pengetahuan tapi usaha tak cukup kuat untuk menggali sirah tokoh agama sendiri. Akibatnyanya, untuk dibuat contoh pun main tangkap muat. Asal ada dan boleh disebut. Itulah sebabnya tokoh ikutan pun kiblatnya sudah ke Barat,” balas Nina.

Ini Mak Uda kutip pada sembangsembang kedua beradik ini sewaktu membahaskan soal idola dan mentor pada suatu petang. Mak Uda memang seronok dapat menyertai perbincangan orang muda. Ia bukan sahaja menambahkan ilmu baru tetapi turut menyegarkan minda orang tua macam Mak Uda yang kian layu…

Mak Uda pun berilah contoh Sayidatina Khadijah r.a. Terhenti seketika perbincangan Nina dan Haizal, penuh khusyuk mendengar Mak Uda berkisah! Hebatnya Sayidatina Khadijah bukan rahsia lagi. Dia kaya ternama, tokoh perniagaan terbilang di Kota Makkah. Janda kaya ini begitu terpikat dengan akhlak yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW. Sehingga beliau mengutus Nafisah dan Maisarah untuk merisik khabar meminang baginda.

Tatkala itu Khadijah berusia 40 tahun, sedangkan Nabi baru menjamah umur 25 tahun. Lamaran diterima lalu hiduplah mereka sebagai suami isteri. Dan setelah itu, semua urusan perniagaan berpindah di bawah kelolaan suami yang amat ditaatinya. Sewaktu orang lain belum mengakui
kerasulan suaminya, dialah wanita pertama yang mengaku dan beriman dengan wahyu yang diturunkan Allah kepada suami tercinta.

Ketika orang lain mencaci nista dakwah yang disampaikan oleh suaminya, beliaulah orang yang sentiasa membela dan membelai gundah-gulana kesedihan Nabi. Tak pernah menghitung untuk membelanjakan segala kekayaan demi jalan dakwah yang dirintis oleh suaminya.

Tuesday, March 12, 2013

Citra Ombak Laut, Nelayan Tua dan Jaringnya


Tatkala tenang
di sini daerah cukup aman
dalam debur mendebur
ombak mengalun di samudera luas
puput bayu bisik rasa penuh rahsia
sesekali pasir memutih menggumpal buih
berbaur hingga ke penjuru karang.
Namun ada ketika
bagaikan cengkaman terlepas bebas
ada desahan ganas
lantaran taufan badai membantai
perahu kecil pasti beroleng
nelayan tua terhenyak bungkam
lantaran samudera mula menerjah citranya
hasil tangkapan belum ketahuan
yang pasti rezeki tetap dihampiri
kerana fi trah lapar itu tak pernah kompromi!
Cuaca berarak mendung suram
bolehkah dijangka apa yang ada?
Pasrahlah dikau wahai nelayan tua
kerana Dia amat peka
pada hujung takdir hidupmu…


andai kau tak pernah melupai-Nya
apa lagi Dia yang tak pernah memberi noktah
sentiasa ranum dalam hikmah
janji rezeki buruk dan baik sudah ditentu…
Walau kerap dicurangi hamba sahaya-Nya!
Seru-Nya: `Mohon dan pintalah pada-Ku
kerana Aku pasti mengabulkan hajatmu’
wahai engkau si diri kerdil
apa lagi mohonlah hanya pada Dia
kerana janji Allah itu benar belaka!
hari ini tatkala musim pukatmu sarat
itulah bukti doa kudusmu berkat
lantas kongsilah kebahagiaan nikmat-Nya
itu dengan semua
kerana engkau hanya musabab
rezeki dilimpah untuk diagih
usah dibazir kurnia dari-Nya
esok belum pasti badaikan sirna
kerana samudera tak pernah alpa
punya teman akrab setia
berpadu dalam untaian bicara
saling melengkapi satu persatu
bagai bulan temannya mentari!!