Tuesday, March 12, 2013

Citra Ombak Laut, Nelayan Tua dan Jaringnya


Tatkala tenang
di sini daerah cukup aman
dalam debur mendebur
ombak mengalun di samudera luas
puput bayu bisik rasa penuh rahsia
sesekali pasir memutih menggumpal buih
berbaur hingga ke penjuru karang.
Namun ada ketika
bagaikan cengkaman terlepas bebas
ada desahan ganas
lantaran taufan badai membantai
perahu kecil pasti beroleng
nelayan tua terhenyak bungkam
lantaran samudera mula menerjah citranya
hasil tangkapan belum ketahuan
yang pasti rezeki tetap dihampiri
kerana fi trah lapar itu tak pernah kompromi!
Cuaca berarak mendung suram
bolehkah dijangka apa yang ada?
Pasrahlah dikau wahai nelayan tua
kerana Dia amat peka
pada hujung takdir hidupmu…


andai kau tak pernah melupai-Nya
apa lagi Dia yang tak pernah memberi noktah
sentiasa ranum dalam hikmah
janji rezeki buruk dan baik sudah ditentu…
Walau kerap dicurangi hamba sahaya-Nya!
Seru-Nya: `Mohon dan pintalah pada-Ku
kerana Aku pasti mengabulkan hajatmu’
wahai engkau si diri kerdil
apa lagi mohonlah hanya pada Dia
kerana janji Allah itu benar belaka!
hari ini tatkala musim pukatmu sarat
itulah bukti doa kudusmu berkat
lantas kongsilah kebahagiaan nikmat-Nya
itu dengan semua
kerana engkau hanya musabab
rezeki dilimpah untuk diagih
usah dibazir kurnia dari-Nya
esok belum pasti badaikan sirna
kerana samudera tak pernah alpa
punya teman akrab setia
berpadu dalam untaian bicara
saling melengkapi satu persatu
bagai bulan temannya mentari!!

No comments:

Post a Comment