Thursday, February 21, 2013

Ekspo Buku Islam Putrajaya



Jangan lupa dapatkan buku masakan dapur ANIS semasa anda berkunjung ke sana.




Jernih Di Hulu, Bersihlah Di Hilir


“Hidup manusia ini ibarat derasnya air mengalir. Kalau bersih di hulu, akan bersihlah waktu ia mengalir sampai ke hilir.” Masih jelas terngiang-ngiang di telinga Mak Uda kata-kata Nyai Marni (nenek Mak Uda) kepada paman-paman dan bibik-bibik (pakcik-pakcik dan makcik-makcik). Ulasan pandangan ini biasanya akan disampaikan olehnya pada setiap waktu ada cadangan untuk merisik jodoh di kalangan keluarga kami.

Nyai Marni orang Jawa Ponorogo, amat teguh pendiriannya dalam soal mencarikan jodoh anak cucunya.Walaupun Mak Uda masih berusia mentah dan tak mengerti pokok dasar perbincangan, Nyai tak pernah melarang Mak Uda duduk bersimpuh tidak jauh daripada tempat mereka berbincang. Inilah untungnya menjadi cucu kesayangan agaknya…

Kata Nyai orang Jawa sangat pentingkan soal ‘babat, bibit dan bobot’ (susur-galur keturunan). Tambah Nyai biar miskin namun jelas asal keturunannya, kuat ibadat dan rajin bekerja. Inilah antara ciri-ciri untuk pasangan hidup bagi kelompok keluarga kami waktu dahulu.

Nyai menjadi orang yang sangat kuat pengaruhnya dalam soal mencari jodoh anak cucunya. Kalau Nyai setuju dengan risikannya, pertunangan dan perkahwinan boleh dilangsungkan dengan baik. Begitulah sebaliknya. Dan jangkaan Nyai sering tepat dan tidak meleset. Inilah hasil bentuk didikan orang tempoh dulu dalam usaha menyambung zuriat dan keturunan!

Untuk menjaga keturunan kata Nyai, ia hendaklah dimulai dari diri sendiri. Selepas itu jatuh kepada pasangan hidup dan mengatur rumah tangga serta mendidik anak-anak mengikut lunas agama yang baik. Ini bermaksud untuk persiapan diri sendiri kita hendaklah menjadi orang yang baik-baik dan suka membuat kebaikan terlebih dahulu. Mesti taat serta berbakti kepada ibu bapa. Menjaga perangai dan kelakuan dalam pergaulan. Memelihara sumber rezeki dan makan minum.

Hendaklah memahami agama dan hidup mengikut pandangan Islam. Mesti menguasai kemahiran menjadi ibu dan bapa serta menguruskan rumah tangga.

Dan usaha juga hendaklah ditambah selepas kahwin iaitu menjalani perkahwinan yang berkat. Membina rumah tangga di atas asas taqwa, menjaga sumber rezeki untuk keluarga dan menjaga hubungan suami isteri. Seterusnya memelihara kandungan dan menjaganya selepas kelahiran anak. Tidak lupa memberikan asuhan serta didikan mulai anak-anak mumaiyiz.

Mendidik dengan bimbingan sesuai menjelang akil baligh dan terakhir sentiasa menyirami pesanan dan latihan menjelang anak-anak di usia perkahwinan. Jodoh juga sering ditentukan hasil persetujuan keluarga terlebih dahulu.Memang berat semua itu. Aspirasi yang Mak Uda tuliskan ini adalah terjemahan daripada usul, nasihat dan kata bincang yang sering Nyai ingat-ingatkan buat kami sekeluarga!

Semua saranan itu disampaikan dalam bahasa yang cukup mudah tetapi sarat dengan pengertian serta maksud tersirat. Walaupun pada ketika itu Mak Uda masih sangat muda untuk mengerti, tetapi proses pengulangan itu sentiasa Nyai berikan dan ia melekat di sanubari Mak Uda…

Kini Nyai sudah lama meninggalkan kami kembali ke rahmatullah. Pandangan dan gaya hidup kita juga sudah begitu pesat jauh meninggalkan segalanya. Apabila tiba giliran kepada Mak Uda sebagai generasi penerus tradisi ini, keadaannya memang tidak semudah dahulu…

Bersiap sedia walaupun saat akhir

Babat, bibit dan bobot’ (nasab keturunan) memang mesti diambil kira sebelum memulakan langkah untuk berumah tangga. Oleh itu merisik itu penting. Tapi haruslah dilakukan mengikut syariat bukan dibesarkan secara adat!

Dan apabila sudah ditemui calon yang sesuai dan rumah tangga pun sudah dibina mengikut  aturan syariat. Maka besarlah kewajipan pasangan ini supaya menjaga keturunannya. Seperti mana yang diperkatakan di atas. Dengan mengikut semua cara yang digariskan oleh landasan syarak pasti `air bersih yang mengalir dari hulu ke hilir tetap jernih dan bersih!’

Mak Uda – Sangat terkesan dengan pesan Nyai yang kadangkadang amat sukar direalisasikan!

Tuesday, February 5, 2013

Melengkapkan Fitrah.....KAHWINLAH!


“CUTI panjang tak balik kampung jenguk emak ke?” Tulus tanya Mak Uda pada Rini, anak buah Mak Uda yang bertugas sebagai seorang peguam di kota K. Dengan wajah yang agak berkerut Rini menjawab: “Rasa rimaslah nak balik, Mak Uda, semua orang asyik tanya soalan cepu emas. Tanya Rini bila hendak kahwin. Ingat kahwin ni macam beli buah mangga di pasar ke?”

Mak Uda pun turut diam seketika. Memang Rini peguam wanita yang bijak, malah sering memenangi kes yang diwakilinya. Tapi bab menerima jodoh nampaknya Rini jauh ketinggalan. Walaupun sudah jenuh usaha keluarga dibuat tapi memang benar agaknya jodohnya belum tiba. Mak Uda tak pernah sentuh bab ini dengan Rini tapi sering juga memberi petunjuk soal jodoh dan pilihan dengan kaedah kiasan. Di samping sentiasa berdoa untuknya mendapat jodoh lelaki yang baik,… insya-Allah.

Masa itu cuti Tahun Baru Cina, tapi Rini lebih memilih untuk bertandang ke rumah Mak Uda di Bandar S, sedangkan rumah keluarganya lebih dekat jika dibandingkan dengan rumah Mak Uda.

Mudahnya kahwin: Mudahkan jangan susahkan

Rini satu-satunya peguam wanita di dalam keluarga kami. Usianya sudah mencecah 32 tahun. Dia memang telah berjaya dalam kariernya. Mak Uda pun selalu tumpang bangga dengan kejayaan Rini. Anak keempat daripada enam adik-beradik. Semua abang dan kakaknya sudah pun berumah tangga dan berkeluarga, namun Rini kerana terlalu asyik belajar dan menjayakan karier sehingga macam terlupa soal kahwin. Dan apabila sedar, katanya sukar mendapat calon yang sesuai usianya. Mak Uda tetap percaya usaha mesti digandakan jika hendak berjaya, dan itulah yang kami sedang usahakan untuknya!

Dari kecil jika Rini ada rasa yang agak tidak kena di hatinya dengan adik-beradiknya, kepada Mak Udalah tujuan berikutnya. Rini bukan calang-calang, dia ada rupa dan karier malah waktu menjadi mahasiswi di dalam dan luar negara dulu pun dia seorang yang aktif di dalam pertubuhan sukarela dan amal. Dan kini dia sudah pun mempunyai rumah dan kenderaan sendiri.

Pada suatu saat apabila Mak Uda mengajukan pertanyaan soal jodoh dan pilihan kepada Rini, dia memberitahu: “Mak Uda! Salahkah pilihan Rini jika Rini memilih tidak mahu berkahwin? Kerana Rini memikirkan Rini sudah ada segalanya. Percayalah Rini tetap bahagia begini.”

“Tak salah, tapi tak lengkap! Sebab sebagai orang Islam yang mengaku cinta dan kasihkan Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w., kita mestilah mengikut sunnah baginda iaitu berkahwin dan mempunyai tanggungjawab keluarga!”

Rini diam dan tunduk membisu seribu bahasa. Sesekali desah nafasnya begitu dalam sekali, mungkin sedang ligat memikirkan apa yang Mak Uda katakan agaknya…

Kisah Rini cuma sebahagian kecil sahaja daripada episod terkini yang melanda ramai kalangan lelaki dan wanita berkerjaya tapi memilih untuk tidak berkahwin. Kerana beranggapan mereka sudah mempunyai segalanya. Tak perlu sandaran tanggungjawab berkeluarga.

Dan lebih pelik lagi apabila kalangan yang memilih tidak mahu mendirikan rumah tangga ini berebut-rebut pula mengambil anak angkat dan sanggup mengambil hormon tertentu untuk menyusukan badan, dengan anggapan ia boleh mengatasi masalah muhrim dengan anak angkat mereka.

Ini pastinya menentang arus yang sudah diatur dengan begitu baik dan kemas oleh Islam dalam bab-bab perkahwinan serta tanggungjawab berkeluarga. Bayangkanlah untuk perbandingan, betapa bahagia mereka yang sudah berkahwin; pahala solat jemaahnya digandakan 27 kali berbanding solat orang yang belum kahwin. 

Itu baru soal solat. Belum lagi hikmah-hikmah mempunyai anakanak dan keluarga yang boleh meningkatkan barakah dalam hidup. Yang pasti doa yang baikbaik dari anak soleh membawa jariah berterusan buat ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Di samping banyak lagi kebaikan untuk dihuraikan satu persatu.

Yang pasti, supaya Nabi mengaku kita ini umat baginda, kahwinlah! Kerana terlalu banyak rahmat tersembunyi dalam sebuah perkahwinan yang barakah! Pun begitu, ia hendaklah dijalankan dalam lingkungan syariat…

Mak Uda – Bahagia kahwin muda; menjelang usia emas tak jadi cemas kerana anak-anak sentiasa menambah nilai kebahagiaan rumah tangga!