Thursday, February 21, 2013

Jernih Di Hulu, Bersihlah Di Hilir


“Hidup manusia ini ibarat derasnya air mengalir. Kalau bersih di hulu, akan bersihlah waktu ia mengalir sampai ke hilir.” Masih jelas terngiang-ngiang di telinga Mak Uda kata-kata Nyai Marni (nenek Mak Uda) kepada paman-paman dan bibik-bibik (pakcik-pakcik dan makcik-makcik). Ulasan pandangan ini biasanya akan disampaikan olehnya pada setiap waktu ada cadangan untuk merisik jodoh di kalangan keluarga kami.

Nyai Marni orang Jawa Ponorogo, amat teguh pendiriannya dalam soal mencarikan jodoh anak cucunya.Walaupun Mak Uda masih berusia mentah dan tak mengerti pokok dasar perbincangan, Nyai tak pernah melarang Mak Uda duduk bersimpuh tidak jauh daripada tempat mereka berbincang. Inilah untungnya menjadi cucu kesayangan agaknya…

Kata Nyai orang Jawa sangat pentingkan soal ‘babat, bibit dan bobot’ (susur-galur keturunan). Tambah Nyai biar miskin namun jelas asal keturunannya, kuat ibadat dan rajin bekerja. Inilah antara ciri-ciri untuk pasangan hidup bagi kelompok keluarga kami waktu dahulu.

Nyai menjadi orang yang sangat kuat pengaruhnya dalam soal mencari jodoh anak cucunya. Kalau Nyai setuju dengan risikannya, pertunangan dan perkahwinan boleh dilangsungkan dengan baik. Begitulah sebaliknya. Dan jangkaan Nyai sering tepat dan tidak meleset. Inilah hasil bentuk didikan orang tempoh dulu dalam usaha menyambung zuriat dan keturunan!

Untuk menjaga keturunan kata Nyai, ia hendaklah dimulai dari diri sendiri. Selepas itu jatuh kepada pasangan hidup dan mengatur rumah tangga serta mendidik anak-anak mengikut lunas agama yang baik. Ini bermaksud untuk persiapan diri sendiri kita hendaklah menjadi orang yang baik-baik dan suka membuat kebaikan terlebih dahulu. Mesti taat serta berbakti kepada ibu bapa. Menjaga perangai dan kelakuan dalam pergaulan. Memelihara sumber rezeki dan makan minum.

Hendaklah memahami agama dan hidup mengikut pandangan Islam. Mesti menguasai kemahiran menjadi ibu dan bapa serta menguruskan rumah tangga.

Dan usaha juga hendaklah ditambah selepas kahwin iaitu menjalani perkahwinan yang berkat. Membina rumah tangga di atas asas taqwa, menjaga sumber rezeki untuk keluarga dan menjaga hubungan suami isteri. Seterusnya memelihara kandungan dan menjaganya selepas kelahiran anak. Tidak lupa memberikan asuhan serta didikan mulai anak-anak mumaiyiz.

Mendidik dengan bimbingan sesuai menjelang akil baligh dan terakhir sentiasa menyirami pesanan dan latihan menjelang anak-anak di usia perkahwinan. Jodoh juga sering ditentukan hasil persetujuan keluarga terlebih dahulu.Memang berat semua itu. Aspirasi yang Mak Uda tuliskan ini adalah terjemahan daripada usul, nasihat dan kata bincang yang sering Nyai ingat-ingatkan buat kami sekeluarga!

Semua saranan itu disampaikan dalam bahasa yang cukup mudah tetapi sarat dengan pengertian serta maksud tersirat. Walaupun pada ketika itu Mak Uda masih sangat muda untuk mengerti, tetapi proses pengulangan itu sentiasa Nyai berikan dan ia melekat di sanubari Mak Uda…

Kini Nyai sudah lama meninggalkan kami kembali ke rahmatullah. Pandangan dan gaya hidup kita juga sudah begitu pesat jauh meninggalkan segalanya. Apabila tiba giliran kepada Mak Uda sebagai generasi penerus tradisi ini, keadaannya memang tidak semudah dahulu…

Bersiap sedia walaupun saat akhir

Babat, bibit dan bobot’ (nasab keturunan) memang mesti diambil kira sebelum memulakan langkah untuk berumah tangga. Oleh itu merisik itu penting. Tapi haruslah dilakukan mengikut syariat bukan dibesarkan secara adat!

Dan apabila sudah ditemui calon yang sesuai dan rumah tangga pun sudah dibina mengikut  aturan syariat. Maka besarlah kewajipan pasangan ini supaya menjaga keturunannya. Seperti mana yang diperkatakan di atas. Dengan mengikut semua cara yang digariskan oleh landasan syarak pasti `air bersih yang mengalir dari hulu ke hilir tetap jernih dan bersih!’

Mak Uda – Sangat terkesan dengan pesan Nyai yang kadangkadang amat sukar direalisasikan!

No comments:

Post a Comment