Wednesday, January 30, 2013

TELADAN DARI SEGALA CONTOH…


KITA masih berada dalam semangat Maulid kerana baru meraikan 12 Rabiulawal. Tentunya ini adalah tarikh istimewa bagi umat Islam yang sayangkan Nabi Junjungan Muhammad s.a.w. Menjana kehidupan dengan contoh terbaik jadi ikutan.

Mak Uda masih ingat lagi sewaktu belajar di sekolah menengah, Allahyarham Ustaz Salleh Abd. Rahman adalah seorang guru agama yang sangat diminati oleh pelajarnya tatkala mengungkapkan mata pelajaran Sirah. Hendaknya kalau menceritakan sirah Nabi Muhammad s.a.w., tempoh 45 minit itu berlalu bagaikan hanya 10 atau 15 minit rasanya.

Sunday, January 27, 2013

Jangan dilepas Sehingga Ke Hujung Nyawa


Tahniahlah Kak Bedah, dulu jaga anak kini asuh cucu pulak ye?” ucap Hajah Fatimah kepada Hajah Zabedah sewaktu kami bertemu dengannya memimpin Haikal cucu sulungnya berumur 3 tahun. Kami sama-sama dalam perjalanan ke kelas Fardu Ain ke masjid.

“Terima kasih. Hari ini Haikal saya bawak sebab tak sampai hati tinggalkan dengan pembantu rumah. Ayahnya `terbang’ ke London, emaknya pula ada urusan pembukaan cawangan baru syarikatnya di Sabah. mudah-mudahan besar nanti dia sukakan majlis-majlis ilmu.” Jawab Hajah Zabedah ceria kepada kami. Pada masa yang sama Hajah Fatimah turut mengusik Mak Uda. Katanya tak lama lagi Mak Uda pun tentu macam Hajah Zabedah seronok ulit cucu.

Mendengar usikan itu Mak Uda terdiam seketika sambil berfikir bahawa inilah yang dikatakan putaran dan roda dunia kehidupan.

Sebenarnya sebagai ibu bapa, yang paling utama kita mesti ingat dan semat dalam hati ialah tanggungjawab kita sebagai pengamanah. Anak-anak adalah anugerah Allah kepada kita.

Oleh itu tanggungjawab mesti bermula sejak awal mendapatkan jodoh dan tiba saat benih jatuh ke dalam rahim.Beransur kepada sembilan bulan dalam kandungan. Di mana pada waktu itu pasangan ibu bapa hendaklah bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan rohani dan jasmani sempurna. Sempurna di sini hendaklah didasari dengan sumber yang halal dan bersih mengikut syariat.

Nyawa hingga ke syurga- Anak kita

Dan jika berkehendakkan zuriat yang baik serta elok akhlak dan pekertinya, ibu bapa hendaklah sentiasa memperbaiki sikap dan sentiasa hidup dalam kandungan suruhan syariat dan sunnah. Dimulai dari hal-hal yang kecil hinggalah kepada yang besar.

Sebaik si bayi dilahirkan ia hendaklah diazan, iqamah dan diberikan nama yang baik. Kemudian bermulalah usaha ke arah pendidikan yang menyeluruh sehingga anak mencapai usia akil baligh. Dan mendapat pendidikan ke dalam bidang yang paling tinggi seterusnya hingga mendapat pekerjaan malah jodohnya yang juga mestilah baik serta berpandukan syariat!

Jika ada yang beranggapan tugas ibu bapa bertanggungjawab ke atas anakanak selesai sehingga mereka mendapat pendidikan tinggi, ini adalah anggapan silap yang mesti diperbetulkan.

Tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak yang menjadi amanah itu sebenarnya tidak boleh ada kata nokhtah. Ia mestilah diteruskan selagi nyawa dikandung badan…

Malah jika anak-anak sudah berjawatan tinggi dan berkeluarga juga tidak boleh dilepaskan terus tanggungjawab itu. Kerana ibu bapa sentiasa ada`saham’ untuk dipertimbangkan di akhirat kelak dengan segala pencapaian serta tingkahlaku yang dibuat oleh anak-anak di bawah amanah mereka. Ini tidak bermaksud untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka.

Tetapi apabila anak-anak sudah ada kehidupan masing-masing memadai ia dipantau dari jarak
dekat atau jauh dan pada masa yang sama diberikan panduan yang sepatutnya.Terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan keibu bapaan.

Melaluinya ia juga boleh menambahkan keakraban hubungan sesama ahli keluarga. Dan sekiranya anak-anak ada masalah, mereka pasti memperolehi tempat rujuk yang lebih sesuai. Serta banyak masalah keibubapaan dan keluarga boleh diselesaikan tanpa membawa perpecahan yang parah.

Oleh itu tanggungjawab ibu bapa tidak boleh dilepaskan begitu sahaja walaupun anak sudah meningkat dewasa. Sebaliknya peganglah seperti kita sedang bermain dengan layang-layang. Ada masa kita lepaskan tali beralun jauh, di waktu yang lain kita sentap perlahan-lahan tali ke tambatan teraju!

Sehingga ke hujung nyawa mereka tetap `aset’ kita!

Mak Uda – Tak ramai anak tapi kaya dengan `anak-anak’.

Tuesday, January 22, 2013

Sajak: Sebuah Memori Perjalanan


Awal Tangisanku....

Tuhanku,
Syukur kerana memberi peluang aku di sini
ini adalah awal tangisanku
tatkala selamat lahir dari rahim ibu tercinta
saat ini aku sudah menerjah rona kehidupan dunia
Wahai Rabbi,
memang amat takjub sekali
kerana aku dan dunia ini adalah ciptaan-Mu
Yang Maha Agung serta Maha Seni!
adalah dengan izin-Mu jua
aku melafaz janji ikrar di sini
bahawa tiada Tuhan yang disembah kecuali Engkau
dan Nabi Muhammad itu adalah Rasul Junjungan kami!

Jalan Yang Sepi


Ia adalah sebatang jalan panjang
amat hening dan sepi kala dinihari
dengan langkah hati-hati
kumengatur langkah di sini
Sewaktu bayu semilir membelai dingin di wajah
Tiba-tiba mata menjadi basah
Hati turut resah mendesah
Wahai Khaliq! Amat kerdilnya aku…
Tiada apa yang hendak dibanding
Sekadar debu di hujung tebing
Sedang jalan ini masih panjang
Namun jiwa masih leka berdendang
Wahai Khaliq! Teruslah rahmati langkahku
Kerana di tengah jalan ini aku mula berteleku
Menghitung betapa banyaknya dosa diriku

Tenang menghadapi cabaran

Sesungguhnya aku menjadi amat malu…
Terimalah janji ini kerana di hujung sana
Pasti kucuci hingga sirna
Semua najis dan dosa durjana
Lalu terimalah aku siapa akhirnya…

Makna Sebuah Persahabatan


Yang bernama sahabat itu luhur
maksudnya
sentiasa bersama dalam suka dan duka
menegur kesilapan
memuji kebaikan
menutup keaiban
tatkala teralpa dialah yang
mengingatkan
tatkala bergelap dialah yang menerangi
tatkala terkurang dialah menambahkan
tatkala terlebih dialah jadi pengagih
beban berat sama dipikul
beban ringan sama dijinjing
sentiasa ada waktu diperlukan
kerana tawa dan tangis
sahabat itu sentiasa berpintal
bertemu dan berpisah cuma
hanya dengan redha Ilahi!
moga makna ini terus kau terjemahkan
buat renungan generasi di hadapan
kerana jalur bahagia itu
sudah kusiapkan jadi tugu batasan erti
sebuah persahabatan hakiki…

Sinar Baru


Kuntum bunga yang kembang
Adalah lambang sinar baru
Selepas fajar menyinsing tanda
sudah bertukar musim
Inilah wajah murni untuk
diteroka esok hari
Dan musimpun terus silih
berganti
Kerana inilah kitaran hidup
Yang bernama hari



Monday, January 14, 2013

Yang Luas dan Sempit Mengenai Rezeki


AJAL, maut, jodoh, dan rezeki adalah ketentuan Allah sejak azali. Kita sebagai hamba-Nya, wajib mentaati segala perintah dan meninggalkan semua larangan. Jika ini dipatuhi maknanya kita sudah membina landas keimanan di dalam kehidupan kita. Dan yang lain-lain pula haruslah diusahakan dengan sabar, tekun, taqwa dan sungguh-sungguh.

Apabila disentuh mengenai rezeki, memang ada di antara kita yang sering menekankan bahawa ia hanyalah diukur hanya kepada wang ringgit atau kebahagiaan material semata-mata.Ini tidak tepat. Kerana yang bernama rezeki itu adalah segala bentuk kurnia rahmat dan hidayah yang Allah kurniakan kepada sekalian manusia.

Yang pentingnya bagaimanakah cara kita mengurus, mensyukuri dan menikmati segala kurniaan tersebut? Berapa ramai manusia yang berkeadaan amat keluh-kesah apabila diuji dengan kehilangan harta, nyawa dan sebagainya lagi? Tetapi akan terus bersyukur dan ingatkah mereka kepada Allah apabila banyak nikmat dan rezeki yang dilimpahkan sepanjang hidup seorang manusia di dunia ini? Inilah persoalan yang harus dijawab dengan keteguhan iman di dada.

Bayangkan betapa pengasih dan penyayangnya Allah terhadap manusia.Walaupun tidak bersyukur dengan rahmat- Nya, ingkar perintah-Nya dan pelbagai kemungkaran dilakukan oleh seorang manusia, Dia tetap memberikan rahmat pada setiap masa dan ketika walaupun tanpa diminta-minta oleh seorang hamba-Nya.

Contoh paling hampir dalam diri seorang manusia adalah nikmat rezeki pancaindera. Bayangkan betapa nikmatnya hidup seorang manusia apabila dilahirkan cukup sifat. Dan tiba-tiba ditimpa musibah lalu hilanglah salah satu fungsi pancaindera tersebut, pastilah yang empunya diri akan sedikit keluh-kesah. Sedangkan sewaktu pancaindera itu berfungsi dengan baik, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri dalam setiap detik waktu bagaimana kita mensyukuri rahmat tersebut?

Inilah sebenarnya kenapa kita dianjurkan supaya banyak berzikirullah. Kerana ia adalah merupakan sebahagian kaedah kita menyatakan syukur terhadap banyak nikmat yang diberi oleh Allah

Begitu juga sekiranya kita dikurniakan kelebihan rezeki harta benda yang banyak.Bukankah kita dianjurkan supaya banyak memberikan sedekah sebagai jalan untuk memberikan isyarat, bahawa kita amat bersyukur dengan rezeki yang Allahberikan.

Sifat pemurah, penyayang dan pemaaf adalah amat dituntut oleh Allah terhadap hamba-Nya.kerana melalui sifat sedemikian kita dapat menterjemahkan rasa syukur terhadap semua kurniaan Allah kepada kita.

Apakah terjemahan daripada rasa syukur kita?
Namun balasan tetap ada kepada hamba-hamba Allah yang tidak bersyukur terhadap rezeki dan kurniaan Allah. Antaranya boleh menyebakan kehilangan harta benda, nyawa, anggota tubuh badan dan sebagainya lagi.

Sebagai manusia juga sebenarnya hanyalah sebagai pengamanah. Kerana setiap apa yang kita miliki adalah hak Allah. Lalu Allahlah yang amat berhak menentukan kurniaitu.

Oleh itu menghargai setiap nikmat yang diberikan dengan cara berkongsi kepada manusia yang lain amatlah dituntut. Oleh itu jugalah timbulnya konsep membayar zakat yang menjadi salah satu rukun kepada orang Islam.

Supaya Allah sentiasa sayang dan terus memberikan rezeki yang luas dan melimpah ruah, janganlah lokek untuk berkongsi nikmat dengan orang lain.Dan jangan lupa pula untuk sentiasa mensyukuri pemberian tersebut. Selagi Allah mahu merahmati kehidupan kita.

Pengertian rezeki juga amat luas, seluas pintu-pintu nikmat yang Allah sentiasa berikan kepada hamba-Nya!
Oleh itu untuk sentiasa mendapat kasih sayang Allah, kita juga dianjurkan agar selalu berkasih sayang sesama manusia…

Mak Uda – Kecil atau besar
kurniaan Allah itu adalah rezeki.Yang
kadangkala diturunkan kepada kita
sekadar untuk menjadi sebab supaya
kita melebarkan kurnia tersebut
kepada insan lain!

Wednesday, January 9, 2013

Biar Molek Dari Awal Hingga Akhir

MUDAH-MUDAHAN elok daripada mula begitulah akhirnya.Inilah doa dan harapan saya sejak mula pandai mengaji dan sembahyang.Kalau tak kaya pun tak apa asalkan bahagia di dunia hingga ke akhirat.”Kata Hajah Maimunah dalam getarsuara yang agak sayu petang itu sewaktu berbual-bual dengan MakUda. Hajah Maimunah sudah berusia hampir 70 tahun. Namun dia aktif hadir ke majlis-majlis kuliah dan ilmu yang diadakan di kawasan kejiranan kami.Kelas-kelas di surau dan masjid jangan dihitung.

Setiap kali ada kelas dia tak pernah tak hadir. Mak Uda yang lebih muda sikit dengannya pun malu juga, sebab ada waktu dan ketika Mak Uda pun tak dapat kehadiran penuh markah macam Hajah Maimunah…Dan setiap kali orang bertanyakan rahsia panjang umur dan cerdas yang dia miliki itulah salah satu petua yang sering diulang-ulang oleh Hajah Maimunah.

Dan tambahnya lagi kita hidup bukan untuk sekali.Mungkin di dunia hidupkita cuma ada sekali dalam hayat yang ditentukan, tetapi kehidupan di alam kekal (akhirat) itu adalah abadi. Olehitu rebutlah peluang untuk membawa bekalan pulang ke kampung yang kekal itu sebanyak mungkin. Biar melimpah-ruah dan yang penting sentiasa bertambah semusim usia!“Untuk membawa bekalan ke akhiratjangan tunggu sampai umur tua baru hendak bermula. 

Usahakanlah daripada awal sewaktu tubuh badan sedangsihat wal afiat. Esok-esok kalau umur meningkat kesihatan pulak menurun. Jangan tangguh-tangguh untuk buat kebaikan dalam apa bentuk sekalipun.Walaupun sekadar mengalihkan duri kecil di tengah jalan.”Pesan HajahMaimunah kepada kami petang itu amat menusuk bunyinya…Semoga inilah jalan kesedaran yang harus dimiliki oleh setiap manusia jika ingin usia yang benar-benar manfaat didunia hingga akhirat hendaknya.Setiap kali ada pesanan kebaikanyang dituturkan oleh orang lain ituadalah nasihat yang mesti dimanfaatdan diamalkan.

Majalah Anis banyak panduannya

Adalah malang sekali dalam putaran umur kehidupan seorangmanusia apabila memulakan jalan hidup dari awal dengan kesilapan demikesilapan hingga ke akhir usianya.Dan beruntunglah pula bagi yang memulakan jalan, mungkin melalui langkah yang silap tetapi apabila tersedar di pertengahan jalan, diakembali ke jalan yang lurus hinggake penghujung usianya. Inilah hargasebuah umur yang berkat dan mestidihargai oleh setiap kita yang bernama hamba Allah.Hidayah itu hak dan milik Allah.

Kita sebagai hambanya hanya mampu melaksanakan apa yang perintah dan menjauhkan apa yang ditegah.Inilah teras keimanan dan taqwa yang mesti dibina sejak awal usia.Sekali lagi peranan ibu bapa sebagai penjaga amanah Allah itu harus disebut dan diperingatkan.Bahawa menentukan perjalanan usia berkat dari awal hingga akhir dalam lingkungan syariat berlandas iman dan taqwa bagi anak-anak di bawah jagaan kita itu adalah wajib dan mesti dilakukan sebaik-baiknya. Dan kunci untuk melaksanakan amanah ini pula adalah melalui pengamalan yang dimulai dengan ilmu pengetahuan. 

Belum terlambat!Kalau sedar diri dalam kekurangan cari dan galilah dengan usaha tanpa jemu, insya-Allah setiap niat yang elok itu akan menemui jalan kejayaan pada akhirnya.Dan setelah ilmu yang dicari diperolehi, amal dan lakukan yang terbaik. Kerana apabila sesuatu kesilapan dilakukan atas dasar kejahilan itu masih boleh dimaafkan. 

Berbanding dengan kesalahan yang dilakukan apabila si pelaku itu memang mengetahui bahawa itu adalah kesalahan!Mak Uda – Manusia kecil yang selalu insaf bahawa segalayang kita ada adalah hak-Nya semata-mata!